Sponsors

Senin, 03 Maret 2014

Kuarters terbiar selepas kejadian hitam

Kuarters terbiar selepas kejadian hitam

HULU BERNAM - Selepas berlaku kematian seorang wanita di Kuarters Pusat Haiwan Kecil dekat Taman Golden Wood di sini dua tahun lalu, kuarters tersebut terus terbiar dan mencacatkan pemandangan.

Penduduk kampung berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai Azim, 22, berkata, persekitaran kuarters ditumbuhi semak samun dan tidak pernah dibersihkan.

“Kalau lalu kawasan ini tidaklah seram pun tapi tetap ada bahayanya sebab ada penduduk yang berjalan kaki untuk sampai ke rumah mereka.

“Lagi pun kedudukannya dekat dekat pondok bas, jadi kalau ada perkara tidak diingini mungkin boleh berlaku. Malang sememangnya tidak berbau,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, beberapa orang lelaki pernah dilihat masuk ke kawasan kuarters itu namun tidak diketahui tujuannya.

Katanya, kebiasaannya tempat yang terbiar semak akan menjadi tempat binatang berbisa.

Peniaga di kawasan berdekatan turut menggesa pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk membersihkan kawasan tersebut kerana dibimbangi menjadi tempat kegiatan tidak sihat.

Menurut Cheah, 42, keadaan semak di sekitar kuarters mengundang rasa tidak selesa kepada peniaga di kawasan itu.

Menurutnya, pihak berwajib sepatutnya bertindak membersihkan kawasan itu atau mengambil langkah sewajarnya dan tidak membiarkan keadaan begitu saja.

“Kalau boleh bersihkan kawasan itu. Kalau masih nak digunakan mesti mahu bersih tapi kalau tidak robohkan saja,” katanya.

Pada 9 Oktober 2011, seorang suri rumah ditemui mati berlumuran darah di atas katil di kuarters tersebut.

Mangsa yang juga seorang peniaga nasi lemak di Pekan Hulu Bernam dan dipercayai mati akibat dipukul.

Sejak itu, kuarters tersebut tidak lagi dihuni dan terbiar.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar