Sponsors

Kamis, 13 Februari 2014

Tuan Guru Nik Aziz pesan anak perantau balik mengundi

Harakahdaily 


Anis Nazri, 24 Feb 2013



(Tuan Guru Nik Aziz berkata sesuatu kepada anggota Parlimen Gombak dalam pertemuan dengan anak Kelantan di Hulu Kelang)

GOMBAK: Hampir 1,000 wanita menyertai Himpunan Wanita Kelantan di Perantauan yang diadakan di Pusat Bandar Taman Melawati, petang semalam.

Himpunan yang bermula jam 4 petang itu penuh dengan  pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz spontan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, cabutan bertuah serta pameran berkaitan negeri Kelantan.

Dengan cuaca yang begitu baik, tidak panas dan tidak hujan, majlis  bermula dengan soalan-soalan kuiz berkaitan Kelantan yang penuh dengan suasana santai dan bersahaja.

Kehadiran penyanyi Aisyah turut mencuri perhatian para hadirin apabila beliau hadir untuk mengikuti program Bicara Selebriti yang dihoskan tokoh motivator muda, Amin Idris.

Selain Aisyah, turut menjadi panelis di ruang Bicara Selebriti itu bekas senator, Mumtaz Md Nawi.


(Antara wanita Kelantan yang memenuhi majlis pertemuan)

Majlis diselang-selikan dengan soalan kuiz serta cabutan nombor bertuah yang menyediakan hadiiah berbentuk hamper dan barangan elektronik.

Malah, para hadirin turut disediakan kuih tradisional negeri itu, akok secara percuma, selain kanak-kanak diraikan dengan kaunter aiskrim buat mereka.

Menjelang jam 5.30 petang, ruang bazar tersebut terus dipenuhi para hadirin, termasuk lelaki yang begitu teruja menantikan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ternyata, kehadiran susuk tubuh kecil tokoh ulama itu pada jam 6.30 petang begitu diraikan apabila beliau disambut oleh para hadirin dengan laungan takbir yang bergema.

Tidak berucap panjang kerana sudah menghampiri waktu maghrib, Mursyidul Am PAS itu mengingatkan hadirin di perantauan untuk pulang mengundi ke Kelantan bagi mempertahankan kerajaan Islam Kelantan.

Beliau kemudiannya menunaikan solat maghrib berjamaah dengan para hadirin sebelum berjamu selera dengan menu gulai kawah yang begitu sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Turut serta pada himpunan tersebut beberapa pimpinan exco kerajaan negeri, selain ahli-ahli dewan undangan negeri (Adun) Kelantan.

Himpunan itu juga turut diraikan ahli parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, dan  Adun Batu Caves, Amiruddin Saari.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar