Sponsors

Minggu, 22 Desember 2013

DAP Perlekeh Penafian Abdul Rahman


KUALA LUMPUR – DAP mendakwa MCA mempunyai pendirian sama berhubung keputusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggunakan khidmat Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) untuk menyalurkan bantuan ke kampung baharu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching mendakwa, seperti DAP, MCA juga tidak menyokong keputusan itu kerana perkara tersebut dilihat boleh menambah masalah birokrasi.

“Walaupun Abdul Rahman menafikan rancangan kerajaan untuk memindahkan tanggungjawab pembangunan kampung baharu kepada majlis kerajaan tempatan hanya menambah masalah birokrasi, tetapi rancangan itu juga tidak disokong oleh MCA.

“Sekiranya rakan seperjuangannya (MCA) juga tidak percaya bahawa rancangan itu berniat suci, bagaimana Abdul Rahman ingin seluruh masyarakat Cina percaya keputusan itu bukan satu hukuman ke atas mereka berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman sebelum ini menafikan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya kerajaan ingin membalas dendam terhadap masyarakat Cina yang berada di kampung-kampung baharu.

Tuduhan tidak berasas itu menunjukkan Guan Eng sebenarnya mempunyai tuduhan yang tersembunyi, seolah-olah kerajaan mahu menghukum orang Cina di kampung baharu kerana tidak mendapat undi.

Perkara itu berbangkit berikutan keputusan kementerian menggunakan khidmat PKP untuk menyalurkan bantuan ke kampung baharu.

Sebelum ini, penyaluran peruntukan ke kampung terbabit menghadapi masalah selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu berikutan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terbabit meletak jawatan selepas MCA membuat keputusan untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar